Kehilangan sesuatu yang disayangi adalah sesuatu perkara yang tidak boleh diterima dalam hidup. Tambah menyedihkan apabila kehilangan itu adalah untuk selama-lamanya. Kita juga sebagai manusia tidak mampu merencanakan kehidupan kita. Tidak semua yang indah dan manis akan berlaku dalam kehidupan ini, kekadang terselit pahit dan duka yang tidak mampu untuk kita mengubahnya. Setiap yang ditakdirkan, ada hikmah yang tersirat di dalamnya yang mampu digali oleh akal fikiran kita sebagai manusia. Ada masanya Tuhan menurunkan bala untuk menyedarkan mereka yang lupa dan alpa, dan tak kurang pula ada yang mendapat nikmat atas usaha dan kesusahan yang pernah mereka alami sebelumnya. Kita juga tidak mampu mengubah dan melawan takdir. Takdir yang ditentukan tersimpan seribu pengajaran yang perlu kita cungkil agar sentiasa maju ke hadapan dan tidak tersesat ke belakang. Kadang-kadang kita terfikir dari penglihatan kita, mengapa mereka yang lalai itu sentiasa bahagia dan kelihatan seperti tidak dilanda musibah, seolah-olah Tuhan merencanakan segala yang baik-baik untuk mereka, tidak ada satu pun kesulitan yang dihadapi, walhal, itu cuma daripada pandangan kasar kita sahaja, tanpa kita tahu kesengsaraan yang bakal diturunkan kepada mereka pada hari mendatang. Mungkin hari ini mereka ketawa dan mungkin juga hari esok mereka pasti menangis. Tidak dinafikan, segelintir daripada kita ada yang terikut-ikut dengan cara kehidupan mereka yang jahil, hanya kerana ingin menjadi seperti mereka, dan mencuba sesuatu yang salah untuk keseronokan diri, dan menyebabkan diri terjerat ke lembah dosa yang mungkin tiada penghujungnya. Oleh itu, sentiasalah berpegang kepada ajaran yang betul dan tidak selamanya terpesong sehingga mengakibatkan hidup sentiasa tanpa arah tujuan. Apa yang kita ada sekarang hanyalah pinjaman sahaja, ilmu dan amalan yang akan dijadikan penghitung untuk kekal bahagia selama-lamanya. Kehilangan yang dirasai mungkin berat untuk dipikul, tetapi mungkin ia tidak sehebat azab yang bakal ditanggung di kemudian nanti.
P/S: Cebisan nukilan di atas dipotretkan bukan untuk semua tapi untuk diri sendiri jua.
No comments:
Post a Comment